Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yakin bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor mampu menyelesaikan krisis yang berlaku di selatan Thailand.

Ujar beliau, atas pengalaman yang dimiliki Abdul Rahim, Dr Mahathir berharap proses rundingan damai dapat berjalan dengan baik.

“Kita telah melantik fasilitator (rundingan damai) yang baharu, bekas Ketua Polis Negara, Abdul Rahim.

“Kita akan perhatikan apa lagi yang perlu kita lakukan. Yang utama ialah pertemuan dengan puak pemisah untuk berbincang dengan mereka.

“Oleh kerana dahulu beliau yang berunding berkenaan pengganas, saya fikir, dia mempunyai cukup pengalaman bagaimana untuk menyelesaikan masalah,” katanya pada sidang media mengakhiri lawatan dua hari, di sini hari ini.

Semalam, Dr Mahathir menegaskan Malaysia berikrar untuk membantu Thailand dalam menangani masalah di selatan negara itu.

Pada Ogos lalu, Abdul Rahim mengesahkan pelantikan beliau menggantikan Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim yang sebelum ini dilantik kerajaan Malaysia pimpinan Barisan Nasional untuk menjadi fasilitator rundingan damai tersebut antara MARA Patani dan kerajaan Thailand.