Tentera Thailand perlu menetapkan satu syarat jangka masa pengambilalihan sementara pentadbiran kerajaan kerana dikhuatiri rakyat akan bangkit memberontak menentang pentadbiran sementara tentera ini.

Malah, sekiranya tiada jangka masa pentadbiran sementara kerajaan ditetapkan oleh tentera ianya akan memberi kesan kepada ekonomi dan sektor pelancongan negara itu.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata setelah pentadbiran kerajaan kini berada di bawah kuasa tentera, segala dasar dan undang-undang tentera akan dilaksanakan.


“Pengumuman rasmi oleh tentera ini menandakan bahawa pemerintahan kerajaan Thailand kini berada di bawah kuasa tentera setelah peluang perbincangan daripada kedua-dua pihak bertelagah gagal mencapai kata sepakat dan di sini jawatan Perdana Menteri juga akan diisi sementara daripada kalangan anggota tentera,” katanya ketika dihubungi oleh Astro AWANI.

Beliau yang juga Dekan Fakulti Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) menambah apabila ketidakstabilan politik ini berlaku dan berlarutan berbulan-bulan tanpa noktahnya, pelabur-pelabur asing kini semakin tergugat untuk melabur dalam ekonomi negara Thailand.

“Apabila rakyat memberontak ianya pasti akan memberi kesan pada ekonomi terutamanya apabila pelabur-pelabur asing mula menarik balik pelaburan. Malah, Amerika Syarikat, Eropah, Jepun dan Korea Selatan telah memberi kata dua iaitu sekiranya berlaku rampasan kuasa, mereka akan menarik balik pelaburan mereka serta merta,”.

Oleh hal demikian, tentera perlu memberi keyakinan bukan sahaja kepada rakyat tetapi kepada pelabur asing ini berkenaan tempoh sementara pentadbiran mereka sementara menantikan pilihan raya yang akan dilaksanakan nanti.

“Jika jaminan ini gagal ditepati, saya pasti rakyat terutama daripada kumpulan ‘Baju Merah’ akan bangkit menentang kerana mereka masih lagi menganggap bahawa mereka masih lagi berada dalam pentadbiran kerajaan dan protes-protes jalanan akan dilakukan,”

Walaupun pentadbiran sementara kerajaan dikawal oleh tentera ini sekurang-kurangnya situasi ini berjaya membawa kepada satu keadaan tenang terutamanya kepada bandar raya Bangkok.

protest
Protes berlanjutan sejak tahun lalu memaksa beberapa tindakan diambil kerajaan, sehingga kemuncaknya di mana tentera melakukan rampasan kuasa pada Khamis. --foto AFP

“Pemerintahan tentera ini berjaya mengembalikan suasana tenang kepada rakyat tetapi jika dalam masa panjang itu, suatu ketetapan atau solusi gagal dicapai oleh tentera maka ianya akan membawa semula negara itu kearah satu suasana huru hara dan tidak stabil,”.

Perlaksanaan perintah berkurung juga sedikit sebanyak menjejaskan industri pelancongan di negara itu.

“Situasi terkini ialah ramai yang telah membatalkan percutian mereka di Thailand gara-gara situasi yang tidak menentu yang berlaku di negara itu malah perlaksanaan perintah berkurung juga dilihat sebagai membawa kepada tempahan-tempahan hotel disana telah dibatalkan,”.

Pada 7 Mei lalu, Mahkamah Perlembagaan Thailand hari ini memutuskan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra dan sembilan menteri kabinetnya perlu meletakkan jawatan kerana didapati menyalahguna kuasa.

Mahkamah itu mendapati mereka telah bertindak di luar batas undang-undang apabila menukarkan Ketua Majlis Keselamatan Negara, Thawil Pliensri pada 2012.

Pertukaran itu disifatkan oleh mahkamah sebagai "tidak sah, melanggar perlembagaan dan tidak beretika" kerana Yingluck ada muslihat peribadi yang akan menguntungkan ahli keluarganya.