Tutup

Berita  | Dunia

Kualiti udara di New Delhi pada paras "bahaya"

Kualiti udara di New Delhi pada paras "bahaya"
Pengguna jalan raya memakai topeng bagi mengelak pencemaran udara ketika menunggang di tengah-tengah kabut tebal di New Delhi, India, 12 Nov, 2019.
NEW DELHI: Kualiti udara di New Delhi dan kawasan berdekatan sekali lagi mencecah paras merbahaya dengan Indeks Kualiti Udara (AQI) mencatatkan bacaan 500 pada Rabu, lapor agensi berita Xinhua.

Bacaan AQI antara 0-50 adalah "baik," 50-100 "memuaskan", 100-200 "sederhana", 200-300 "tidak sihat", 300-400 "sangat tidak sihat", 400-500 "merbahaya" dan melebihi 500 dikategorikan "kecemasan."
Beberapa kawasan berhampiran New Delhi seperti Gurugram di negara jiran Haryana mencatatkan bacaan AQI melebihi 500.

Noida, sebuah bandar berjiran dengan Uttar Pradesh juga mencatatkan bacaan melebihi 500.
Menurut laporan media, kualiti udara yang teruk menyebabkan ramai penduduk menghadapi masalah pernafasan dan juga penyakit jantung.

Punca utama menyumbang kepada kualiti udara yang teruk disebabkan pembakaran sisa tanaman oleh petani di utara Punjab dan Haryana.

Ketua Menteri New Delhi Arvind Kejriwal di Twitternya menulis "Pembakaran perlu dihentikan, ramai penduduk telah menderita. Perintah oleh Mahkamah Agung juga telah dikeluarkan."

-- BERNAMA