TELEFON bimbit bukan sekadar alat komunikasi dalam dunia serba moden ini.

Sebaliknya, telefon bimbit juga ada ketikanya boleh menjadi penyelamat nyawa terutama tanpa ada menyedari ada bencana menanti di hadapan.

Kalau bukan kerana telefon bimbit, nyawa seorang lelaki berusia 43 tahun di Australia barangkali sudah hilang selepas dia diserang oleh anak panah di luar kediamannya.

Insiden itu berlaku di bandar New South Wales, Nimbin pada 13 Mac lalu.

Mangsa yang tidak menyedari dia akan dibunuh telah merakamkan aksi suspek yang datang membawa busur dan melepaskan anak panah di hadapan rumah mangsa untuk membunuhnya.

Bagaimanapun, mangsa terselamat apabila anak panah itu menembusi telefon bimbitnya.

Menurut jurucakap polis, mangsa yang terselamat daripada dibunuh hanya mengalami luka kecil pada mukanya.

Polis juga tidak menolak kemungkinan mangsa dan suspek saling mengenali namun, tiada butiran lanjut mengenai hubungan mereka.

Suspek yang berusia 39 tahun diberkas oleh polis di tempat kejadian.

Dia akan didakwa atas kesalahan serangan serta melakukan kerosakan harta benda dan akan dihadapkan ke mahkamah pada April depan.