Negara-negara yang melonggarkan sekatan mungkin terpaksa menguatkuasakan semula larangan itu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) beri amaran situasi itu tidak mustahil berlaku sekiranya negara terbabit tidak menguruskan peralihan dengan berhati-hati.

Amaran dinyatakan Ketua Pengarahnya Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Menurut beliau, WHO menyenaraikan langkah-langkah perlu dilaksanakan sebelum sekatan dilonggarkan.

Ini termasuk pemantauan ketat dan persediaan sistem kesihatan yang baik.

"Risiko untuk kembali menguatkuasakan sekatan adalah situasi sebenar, sekiranya negara tidak menguruskan tempoh peralihan dengan berhati-hati dan dengan pendekatan berperingkat.

"Pandemik ini telah mencetuskan kepentingan sistem kesihatan yang baik pada asas keselamatan kesihatan global dan perlindungan kesihatan universal.

"Sistem kesihatan yang kukuh dan berdaya tahan adalah pertahanan yang terbaik, bukan hanya ketika berdepan pandemik ini tetapi juga ancaman kesihatan lain yang dihadapi di seluruh dunia ketika ini," kata Dr Tedros.

Beliau juga menegaskan adalah mustahil untuk kembali menjalani kehidupan normal.

Sebaliknya, beliau menyarankan semua penduduk bersikap lebih waspada ketika ancaman pandemik masih wujud.