Badan-badan perdagangan Indonesia dan India pada Selasa membidas serangan oleh sesetengah pihak ke atas sawit yang dibuat di atas nama kelestarian.

Lembaga Minyak Sawit Indonesia, Persatuan Pengekstrak Pelarut (SEA) India dan Solidaridad Network dalam satu kenyataan bersama menyatakan kebimbangan mereka terhadap serangan ke atas minyak sawit yang dikaitkan dengan isu-isu kelestarian berbanding dengan minyak boleh dimakan yang lain.

Pengeluar utama minyak sawit dunia, Indonesia dan Malaysia, melahirkan rasa kesal dengan kempen oleh sebahagian anggota Kesatuan Eropah terhadap komoditi itu, yang didakwa kononnya perluasan ladang sawit telah menyebabkan pembasmian hutan dan pembalakan haram.

Tanpa menamakan mana-mana blok, kumpulan perdagangan ini bertekad untuk menangani publisiti negatif yang dibuat bagi mencemarkan imej minyak sawit secara global.

Mereka juga bercadang untuk membangunkan konsep Hari Minyak Sawit Antarabangsa dan meningkatkan perdagangan minyak sawit India-Indonesia.

India amat bergantung kepada import minyak sawit bagi menampung keperluan domestiknya.

Menurut data yang dikeluarkan SEA, pengimport India membeli 497,655 tan minyak sawit mentah dan 241,101 tan RBD sawit olein pada Februari lepas.

-- BERNAMA