Masyarakat antarabangsa digesa mengurangkan hubungan dengan Amerika Syarikat ekoran keputusan Presidennya Donald Trump yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Ketua Diaspora Hamas Dr Maher Salah berkata kerajaan yang menentang keputusan itu juga boleh menghentikan pelaburan di negara-negara yang menerima langkah Trump itu.

"Dan terdapat banyak perkara yang boleh dilakukan untuk meningkatkan kesedaran mengenai perjuangan rakyat Palestin. Buku mengenai nasib rakyat Palestin juga boleh disediakan di sekolah-sekolah dan universiti," katanya pada sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Salah berharap keputusan Trump mengenai Baitulmaqdis, yang tidak akan diterima oleh rakyat Palestin, akan mempercepat proses perdamaian antara gerakan Hamas dan Fatah di Palestin.

Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan Malaysia atas usaha berterusan untuk menyokong rakyat Palestin dalam perjuangannya menentang rejim Zionis.

Pengisytiharan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel oleh Trump telah mencetuskan kemarahan dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia termasuk Malaysia.

-- BERNAMA