Berita  |  Dunia

Ladang bunga matahari tarik pelancong ke Taman Negara Khao Yai

Ladang bunga matahari tarik pelancong ke Taman Negara Khao Yai
Ladang bunga matahari yang terdapat di Taman Negara Khao Yai menjadi tarikan kepada pelancong dalam dan luar negara untuk mengunjungi taman negara di timur laut Thailand itu. --fotoBERNAMA
NAKHON RATCHASIMA: Taman Negara Khao Yai, kira-kira tiga jam perjalanan menggunakan kereta dari Bangkok merupakan antara tarikan pelancongan alam sekitar dan tanah tinggi yang semakin popular di Thailand.

Menurut pihak berkuasa Taman Negara Thailand, tahun lepas sahaja sebanyak 1.2 juta pelancong luar dan dalam negara melawat taman negara yang terletak di wilayah Nakhon Ratchasima (juga dikenali Korat) di Timur Laut Thailand itu.

Taman Negara Khao Yai meliputi kawasan keluasan 300km persegi dan merupakan taman negara ketiga terbesar di Thailand, memiliki pelbagai tarikan daripada hidupan liar kepada kawasan pertanian musim sejuk seperti strawberi.
Bagaimanapun ladang Bunga Matahari yang terdapat di tanah tinggi taman negara itu kini muncul sebagai antara tarikan utama yang menggamit kedatangan pelancong dalam dan luar Thailand.

Pelancong sanggup menempuh perjalanan jauh termasuk dari China dan tidak kurang juga dari Malaysia untuk mengabadikan kenangan di hamparan lading Bunga Matahari yang terbentang luas serta indah di Taman Negara Khao Yai.

Dengan cuaca sejuk di Khao Yai bermula November hingga awal Januari menyebabkan suhunya mencapai sekitar 20 darjah Celcius pada waktu siang dan kira-kira 10 darjah Celcius pada malam, bilangan pelancong ke ladang Bunga Matahari terutamanya pada cuti umum melonjak.

Menurut pihak berkuasa Pelancongan Thailand, ladang-ladang ini semakin popular dengan semakin banyak ladang Bunga Matahari dibuka di kawasan berhampiran Khao Yai seperti Saraburi dan Lopburi.

Bagi menampung kebanjiran pelancong, puluhan hotel serta resort dengan pelbagai reka bentuk menyerupai bangunan di United Kingdom dengan nama seperti 'Thames Valley' dan'Notting Hill' serta Lembah Tuscan di Itali sedia menerima kedatangan mereka.

Antara lain, Taman Negara Khao Yai juga memiliki 'Toscana Valley' yang direka bentuk persis perkampungan di Florence, Itali yang juga menjadi tarikan pelancong taman negara itu.

-- BERNAMA