Ditahan kerana melakonkan aksi lucah di sebuah kelab malam, 10 individu termasuk lima warga Britain dakwa diugut dengan wang jaminan yang tinggi.

Pihak berkuasa Kemboja pada Sabtu telah dituduh melakukan pemerasan terhadap inidividu terbabit yang ditahan kerana 'menari dengan aksi lucah'.

Sumber dari salah seorang ahli keluarga pesalah mendakwa pihak berkuasa Kemboja mengenakan wang jaminan setinggi AS$40,000 (RM155,400).

Selain pembayaran secara tunai, mereka mendakwa tiada perbincangan dan maklumat lanjut diberikan buat masa ini.

Malah mereka mendakwa dengan jumlah yang tinggi terbabit ia seolah-olah menjurus kepada jenayah rasuah dan peras ugut.

Namun, ahli keluarga tertuduh yang lain bagaimanapun menjelaskan wang jaminan terbabit tidak dikenakan kepada semua individu terlibat.

Pihak berkuasa Kemboja dalam kenyataan pada Sabtu menjelaskan kesemua individu terbabit akan ditahan sehingga tarikh perbicaraan yang akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Sehingga tempoh terbabit, kesemua tertuduh akan diminta membayar caj utiliti elektrik dan air sepanjang berada di penjara Kemboja.

Jika didapati bersalah, mereka boleh dikenakan hukuman penjara selama 12 bulan.

Dalam kejadian pada Khamis, 10 individu terbabit dikatakan telah menyanyi dan menari sambil melakonkan aksi lucah di sebuah pusat peranginan di Siem Reap.

Lima warga Britain terbabit adalah Vincent Harley Robert Hook, 35, Daniel Richard Leeming Jones, 30, Thomas Alexander Jeffries, 22, Billy Stevens, 21 dan Paul Francis Harris, 32.

Sementara itu, lima lagi yang ditahan masing-masing dari Belanda, Kanada, Norway dan New Zealand.