LAMAN sesawang Bangkok Post, akhbar berbahasa Inggeris terulung di Thailand, tergendala selepas digodam oleh penggodam tidak dikenali hari ini.

Penggodam meninggalkan mesej di laman sesawang berkenaan, www.bangkokpost.com iaitu "Hacker Sakit Hati. Your Website Has Been Damaged."

Akhbar itu dalam mesej yang dimuatkan pada laman sesawang yang digodam itu memaklumkan bahawa ia kini melakukan penambahbaikan dan mempertingkatkan halaman serta sistem bangkokpost.com untuk perkhidmatan lebih baik.

Dalam akaun Twitter akhbar terbabit, Bangkok Post mengumumkan bahawa laman sesawangnya telah digodam dan ketika ini kerja penyelenggaraan sedang dijalankan.

"Kami memohon berbanyak maaf berikutan masalah teknikal ini," kata akhbar itu.

-- BERNAMA