SEORANG bayi perempuan yang disangka mati ketika dilahirkan rupa-rupanya masih hidup biarpun dikebumi selama hampir lapan jam.

Dalam kejadian yang berlaku di Canarana, Brazil, bayi perempuan itu dilahirkan pada tengah hari Selasa lalu oleh ibunya yang berusia 15 tahun.

Moyang kepada bayi itu memberitahu cucunya melahirkan bayi itu ketika bersendirian di bilik air.

"Ia satu proses kelahiran yang sangat pantas. Cucu saya berasa sakit dan bayi itu terus keluar dan kepalanya terhentak di lantai bilik air," kata Kutz Amin, 57 tahun.

Memandangkan bayi itu tidak mengeluarkan bunyi tangisan, mereka sekeluarga beranggapan dia sudah meninggal dunia dan terus melakukan upacara tradisi pengebumian.

Amin dan keluarganya merupakan suku kaum Orang Asli Brazil dan masih mengamalkan cara hidup lama serta tidak mengikuti perkembangan teknologi.

Polis yang dihubungi jiran tetangga tiba di kediaman itu kira-kira jam 10 malam.

Kubur tidak bertanda sedalam dua kaki itu digali hanya menggunakan tangan dan bayi itu dikeluarkan dalam keadaan masih bernafas.

Bayi itu dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan dan dilaporkan semakin pulih. Ibu bayi itu juga sedang dirawat kerana komplikasi bersalin.

Polis dilapor akan menyoal siasat ibu bayi berkenaan sebelum menentukan pertuduhan yang akan dikenakan.