Seorang remaja perempuan dibakar hidup-hidup dalam satu kejadian di Bangladesh selepas dia melaporkan dirinya menjadi mangsa gangguan seksual perbuatan gurunya, baru-baru ini.

Nusrat Jahan Rafi, 19, melecur hampir 80 peratus pada tubuhnya selepas dibakar di atas bumbung sekolahnya.

Kejadian berlaku apabila mangsa diumpan ke bumbung sekolah oleh sekumpulan pelajar perempuan yang mendakwa rakan mereka dipukul.

Setibanya di atas bumbung, Nusrat dikepung oleh sekumpulan empat hingga lima individu memakai purdah memaksanya menarik balik laporan berkenaan.

Enggan berbuat demikian, remaja itu cuba melarikan diri, namun salah seorang suspek menangkapnya sebelum menuang minyak tanah dan membakarnya.

Nusrat disahkan meninggal dunia lima hari kemudian di hospital.


Kematian Nusrat sekali gus memberi isyarat kepada kerajaan Bangladesh agar mengambil serius kes melibatkan gangguan seksual bagi memastikan mangsa mendapatkan perlindungan dan keadilan.

Majlis pengebumian Nusrat dihadiri ribuan penduduk Bangladesh yang rata-ratanya mahu tumpuan dan keadilan diberikan kepada mana-mana mangsa keganasan seksual.

Polis kini menahan 15 suspek disyaki terlibat termasuk tujuh daripadanya dipercayai terlibat dalam pembunuhan gadis itu.

Turut ditahan ialah pengetua sekolah berkenaan, Maulana Siraj Ud Doula.