Laporan akhir siasatan berhubung nahas pesawat penerbangan Malaysia Airlines MH17 di Ukraine tahun lalu akan diterbitkan pada 13 Oktober ini.

Penyiasat Belanda dalam satu kenyataan berkata, keluarga mangsa akan dimaklumkan terlebih dahulu sebelum laporan berkenaan dikeluarkan kepada masyarakat umum.

"Lembaga Keselamatan Belanda (Dutch Safety Board) telah memaklumkan ahli keluarga mangsa bahawa mereka akan menerbitkan laporan akhir siasatan ke atas nahas penerbangan MH17 pada 13 Oktober 2015.

"Namun sebelum penerbitan rasmi laporan itu, keluarga mangsa akan dimaklumkan mengenai kesimpulan penyiasatan dalam satu mesyuarat maklumat tertutup," kata kenyataan itu.

Pesawat berkenaan ditembak jatuh di ruang udara Ukraine pada 17 Julai tahun lalu.

Kesemua 298 penumpang yang sebahagian besarnya adalah rakyat Belanda terbunuh dalam insiden tersebut.

Pasukan penyiasat antarabangsa yang diketuai belanda menyiasat punca kejadian dan akan membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Sementara itu, DSB telah diamanahkan untuk menyiasat 'apa' yang menembak jatuh pesawat MH17.

Ukraine dan negara barat menunding jari ke arah pemberontak pro-Rusia dengan mendakwa kumpulan itu menembak jatuh pesawat Boeing-777.

Pada masa sama, mereka mendakwa kumpulan itu menggunakan peluru berpandu BUK yang dibekalkan Rusia.

Bagaimanapun, Moscow serta kumpulan pemberontak itu menafikan pembabitan mereka seterusnya menyangkal tuduhan.

Sebaliknya, Rusia serta kumpulan pemberontak pro-Rusia mendakwa MH17 ditembak jatuh tentera Ukraine.

Laporan awal yang dikeluarkan Belanda pada September lalu mendedahkan pesawat berkenaan telah diserang beberapa kali dengan "objek berkuasa tinggi ".

Siasatan kes itu diketuai Pendakwa Raya Belanda dan turut dibantu pakar dari Australia, Belgium, Malaysia dan Ukraine.