Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan bersetuju untuk menyambung semula latihan ketenteraan bersama pada bulan depan walaupun Presiden Donald Trump berhasrat mengadakan pertemuan dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un.

Jurucakap Pentagon, Leftenan Kolonel Christopher Logan berkata, dua latihan bersama itu akan melibatkan kira-kira 23,700 tentera AS dan 300,000 tentera Korea Selatan, termasuk latihan simulasi komputer dan latihan lapangan.

“Latihan yang akan dilakukan lebih tertumpu kepada pertahanan dan tidak ada sebarang alasan untuk Korea Utara menyatakan bahawa latihan tersebut sebagai satu langkah provokasi,” katanya dalam satu kenyataan.

“Pihak ketenteraan Korea Utara juga telah dimaklumkan tentang jadual latihan oleh Komando Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan latihan itu dijangka akan berakhir menjelang hujung bulan Mei,” jelasnya.

Menurutnya, mereka telah lama merancang untuk melakukan latihan berkenaan dan menafikan dakwaan ia satu tindak balas terhadap Korea Utara atau keadaan semasa yang berlaku di Semenanjung Korea.

Awal Januari, Seoul dan Washington berkata mereka akan menangguhkan latihan kententeraan tahunan yang digelar sebagai Key Resolve dan Foal Eagle itu sehingga tamat acara Sukan Olimpik dan Paralimpik musim sejuk di Pyeonchang, Korea Selatan.

Selepas pengumuman penangguhan latihan itu, Pyongyang bersetuju mengadakan rundingan rasmi dengan Seoul selama lebih dari dua tahun bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku antara kedua buah negara di Semenanjung Korea itu.

Seoul telah menghantar delegasi ke Pyongyang untuk mengadakan rundingan dengan pemimpin Korea Utara pada awal bulan Februari.