Berita  | Dunia

Lebih 100 kanak-kanak di India mati akibat 'radang otak' selepas makan buah laici

Lebih 100 kanak-kanak di India mati akibat 'radang otak' selepas makan buah laici
Setiap kali musim buah laici, wabak Sindrom Encephalitis Akut (AES) iaitu penyakit neurologi yang melibatkan radang otak akan melanda negeri itu pada musim panas. - REUTERS/Jitendra Prakash VM/TZ
BIHAR: Lebih 100 kanak-kanak di Bihar, India mati akibat daripada radang otak yang dipercayai berpunca daripada toksin yang terdapat pada buah laici.

Setiap kali musim buah laici, wabak Sindrom Encephalitis Akut (AES) iaitu penyakit neurologi yang melibatkan radang otak akan melanda negeri itu pada musim panas, lapor media antarabangsa.

Sebanyak 85 kes kanak-kanak mati dicatatkan di Hospital Kolej Perubatan Sri Krishna (SKMCH) manakala 18 yang lain meninggal dunia di kemudahan swasta, menurut pegawai-pegawai perbandaran di situ lapor media tempatan, Press Trust of India (PTI).

Antara simptom yang dialami oleh mangsa ialah demam, muntah-muntah, tidak sedarkan diri serta kekejangan.
Menurut pegawai kesihatan Ashok Kumar Singh, kebanyakan mangsa mengalami kehilangan glukosa secara mendadak dalam darah mereka.

Beberapa tahun yang lalu, pakar penyelidik Amerika Syarikat mendapati penyakit radang otak boleh dikaitkan dengan bahan toksik yang terdapat pada buah-buahan.

Menurut para penyelidik, toksin hypoglycin A dan methylenecyclopropylglycine (MCPG) yang terdapat dalam biji laici akan membawa kepada penyakit jika individu yang tidak mempunyai nutrisi yang cukup dalam badan memakan buah itu.

Namun, lebih banyak kajian perlu dilakukan untuk mendedahkan punca sebenar penyakit tersebut apabila ia melibatkan lebih daripada tiga kes kematian.

Wabak AES atau lebih dikenali sebagai 'chamki bukhar' oleh warga tempatan melanda daerah itu sejak tahun 1995 dan pada 2014 mencatatkan rekod kematian terburuk iaitu seramai 150 orang.

Penduduk di Bihar tergolong sebagai antara kumpulan rakyat di India yang paling tidak mendapat akses kesihatan asas dan hampir 100 juta orang mendiami negeri itu.

Muzaffarpur di Bihar merupakan daerah utama bagi pengeluaran buah laici di India.

Menurut Kementerian Pertanian Kesatuan India, sebanyak 300,000 metrik tan laici dihasilkan daripada 32,000 hektar di bawah penanaman di Bihar pada tahun 2017.

Tag: Bihar, Kanak-kanak, mati, India, buah laici, meninggal dunia, Sindrom Acute Encephalitis, AES


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.