Lebih 100 kucing ditemui mati reput dalam rumah pasangan warga emas

|

Selama bertahun-tahun, kucing-kucing itu terus membiak, hingga mencetus masalah kepada pasangan berkenaan. - Metro.co.uk

TAMPA: : Pihak berkuasa tempatan Florida, Amerika Syarikat terkejut apabila menemui lebih 100 bangkai kucing yang mereput dalam sebuah kediaman yang dihuni sepasang warga emas.

Lebih menjelekkan, pihak berkuasa yang memasuki rumah Cheryl Smith dan John Ellis itu turut menemui 63 bangkai haiwan itu yang disimpan beku dalam peti sejuk.

Bangkai kucing yang selebihnya ditanam di halaman rumah.

Unit pendingin hawa di rumah tersebut juga didapati sudah tidak berfungsi lantaran tersumbat dengan bulu kucing. Keadaan itu menyebabkan Cheryl, 70 tahun, seorang bekas jururawat, dan John, 66 tahun, seorang veteran tentera, sesak nafas dalam bahang iklim Florida.

Metro UK yang memetik berita Fox melaporkan, sekumpulan pembersih yang ditugaskan untuk membantu pasangan itu juga mendapati rumah itu dipenuhi pijat, lipas, labah-labah dan semut.

Lantai rumah itu ditutup dengan tiga lapisan permaidani, namun permukaannya dikotori kencing kucing dan najis daripada tikus dan lipas.

Keadaan itu membuatkan Cheryl, yang menghidap skoliosis (sakit tulang belakang), terpaksa tidur di atas kerusi.

Media tempatan melaporkan, John pula lazimnya terpaksa tidur di atas tilam yang ‘kelihatan seperti dari lokasi jenayah’.

Ceritanya bermula daripada tabiat Cheryl dan John yang suka menyelamatkan kucing terbiar sejak tahun 1990-an, dengan niat untuk memberi tempat tinggal yang lebih baik.

Mereka bagaimanapun tidak mampu menghantar haiwan itu untuk dikembiri.

Selama bertahun-tahun, kucing-kucing itu terus membiak, hingga mencetus masalah kepada pasangan berkenaan.

Sejak pendedahan itu, pasangan tersebut telah dibantu oleh sekumpulan petugas sukarelawan khas untuk membersihkan kediaman mereka.
Outbrain