Lebih 100 orang maut akibat minum arak tiruan dalam kejadian di Uttar Pradesh dan Uttarakhand, di India pada Isnin.

Menurut polis dan media tempatan, kejadian tersebut disifatkan sebagai yang terburuk sejak beberapa tahun.

Kebanyakkan yang meninggal dunia di Haridwar, Uttarkhand dan dua daerah di Uttar Pradesh dilaporkan mengadu sakit perut dan sesak nafas.

Superintendan Kanan Polis Hadriwar, Janmaijai Prabhakar memaklumkan, polis telah menahan empat individu yang dikaitkan dengan kematian tersebut.

“Jumlah kematian di Haridwar kekal pada 36 mangsa dan kini 18 orang sedang menjalani rawatan,” katanya kepada Reuters.

Pihak berkuasa Uttar Pradesh juga gagal dihubungi bagi mendapatkan jumlah terkini mangsa yang maut, namun akhbar Indian Express dan Times of India memaklumkan, angkanya mencecah kepada 69 orang.

Kematian akibat alkohol yang dihasilkan secara haram, atau dikenali sebagai 'hooch' atau 'country liquor' merupakan kes yang biasa berlaku di India, di mana ramai tidak mampu membeli minuman keras berjenama.

Bagaimanapun jumlah terkini yang dicatat dipercayai yang paling tinggi sejak kes di Bengal Barat pada 2011 lalu, yang mengorbankan 172 nyawa.

Menurut Majistret daerah Saharanpurdi Uttar Pradesh, Alok Kumar Pandey, doktor telah membuat kesimpulan bahawa bayak mangsa telah mati “akibat jangkitan pada hati serta masalah pernafasan”.