Pihak berkuasa Turki mengeluarkan waran tangkap ke atas lebih 100 orang pegawai dan anggota polis berhubung tuduhan rasuah yang dilemparkan ke atas empat orang menteri kabinet hujung tahun lalu.

Operasi menahan pegawai dan anggota polis itu, termasuk mereka yang telah bersara, digerakkan di seluruh negara pada Selasa.

Ketua Pendakwaraya Istanbul, Hadi Salihoglu dalam satu kenyataan berkata 76 daripada mereka dikehendaki bagi siasatan mengintip dengan menyadap telefon Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan, menteri-menteri kabinet dan ketua risikan.

Sejumlah 39 orang lagi dipercayai menyadap telefon pegawai kanan kerajaan dan wartawan.

Erdogan sebelum ini mendakwa tuduhan rasuah terhadap anggota kabinetnya adalah satu helah ulama Fethullah Gulen untuk merampas kuasa. Ulama itu kini tinggal di Amerika Syarikat.

Gerakan Gulen adalah antara pendukung penting Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) semasa ia meraih kuasa pada 2002. Pakatan itu bagaimanapun runtuh selepas beberapa sekutu politik dan bisnes Erdogan ditahan untuk siasatan rasuah pada Disember tahun lepas.

Skandal rasuah itu membawa kepada rombakan kabinet. Erdogan bagaimanapun berikrar mahu mengekstradisi Gulen balik ke Turki.