Lebih 100,000 individu terkandas di stesen kereta api Guangzhou selepas cuaca buruk mengganggu jadual perjalanan yang biasanya sibuk menjelang sambutan Tahun Baru Cina, lapor The Guardian.

Kebanyakan bakal penumpang merupakan pekerja penghijrah yang mahu pulang ke kampung halaman untuk menyambut tahun baru pada 8 Februari ini.

Salji lebat dan cuaca sejuk yang melanda wilayah tengah dan timur China telah menyebabkan 23 perjalanan kereta api dari Guangzhou ditunda dan lapangan terbang di bandar Wuhan ditutup.

Media tempatan melaporkan situasi di bandar tersebut begitu kritikal sehingga pihak berkuasa terpaksa mengisytiharkan “kecemasan tahap dua” dan mengerah 2,600 pengawal keselamatan untuk memantau kesesakan tersebut.

Ketua Polis Guangzhou Xie Xiaodan dan Chen Rugui, pemimpin kanan parti pemerintah turut berada di bandar berkenaan untuk mengelakkan sebarang rusuhan dan rempuhan berlaku.