Kerajaan Indonesia mengerahkan lebih 32,000 anggota tentera ke ibu negara Jakarta susulan maklumat risikan yang menjangka berlaku serangan pengganas menjelang keputusan pilihan raya presiden pada 22 Mei ini.

Setakat ini, polis republik tersebut mengumumkan telah berjaya memberkas 68 suspek pengganas yang merancang serangan bom yang mana suspek utama dikaitkan dengan Kumpulan Jemaa Anshourut Daulah (JAD).

JAD merupakan satu rangkaian militan tempatan yang mana pemimpin-pemimpinnya telah akur setia kepada organisasi pengganas antarabangsa, Daish.

“Terdapat tanda-tanda bahawa pengganas mungkin merancang serangan apabila orang ramai berkumpul di bangunan Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU),” kata jurucakap polis Dedo Prasetyo pada Isnin lalu.

Katanya, “Kami mengambil langkah berjaga-jaga untuk menghentikan kejadian tidak diingini.”

Pihak berkuasa turut bersedia mengadakan kepungan keselamatan di sekitar ibu pejabat Badan Pengawas Pemilihan (Bawaslu) di Jakarta.

Bangunan tersebut terletak di Jalan M. H. Thamrin, antara laluan utama di bandar itu dan juga lokasi serangan pengganas di Indonesia yang pertama didakwa dilakukan oleh Daish pada tahun 2016.

Minggu lepas menyaksikan penyokong calon presiden Prabowo Subianto menjalankan dua perhimpunan di sekitar Bawaslu untuk meletakkan tekanan kepada KPU supaya mereka menyiasat dakwaan penipuan ketika pilihan raya berlangsung.

Antara pengganas yang ditahan ditemui bersenjatakan bom buatan sendiri dan mampu mengelak pemantauan oleh pihak berkuasa dengan meletupkan bom menggunakan pemancar telefon atau radio.

Salah seorang suspek turut mengubah mekanisme alat peledak supaya ia dapat diletupkan dengan hanya menggunakan perkhidmatan wifi.

Kajian terbaharu oleh pusat kajian S. Rajaratnam School of International Studies (RSIS) menyatakan bahawa kekalahan Daish di Syria dan Iraq menyebabkan keganasan organisasi itu tersebar ke negara lain.