Menteri Perikanan dan Hal Ehwal Maritim Indonesia, Susi Pudjiastuti menegaskan perairan Indonesia bakal dipenuhi sisa buangan plastik berbanding ikan menjelang tahun 2030.

Situasi itu boleh berlaku jika Indonesia masih culas dalam mengambil tindakan berhubung pembuangan sisa sampah.

“Inilah sebabnya kita perlu hentikan penggunaan plastik seperti beg atau botol. Susah semestinya bukan sampah yang mahu kita pancing di laut,” katanya kepada agensi berita Antara semasa mengadakan lawatan di Anambas, Kepulauan Riau pada Sabtu.

Susi melahirkan kebimbangannya selepas fakta menunjukkan Indonesia merupakan negara kedua menjadi lokasi pengumpulan sisa plastik selepas China.

“Berhenti menggunakan bahan plastik kerana ia menyumbang kepada pencemaran alam sekitar. Bermula sekarang, berhenti menjadi negara yang dicemari dengan sisa plastik.

“Kita sudah dianugerahkan oleh Tuhan dengan hutan yang menghijau dan udara yang bersih, jadi jangan ambil kesempatan dengan mencemarinya,” katanya.

Beliau juga mahu penduduk setempat mengadakan program yang efektif dalam menangani masalah pembuangan sisa sampah yang boleh mengganggu sektor pelancongan Indonesia.

“Pihak pentadbiran perlu melihat perkara ini secara serius dengan menjaga Kepulauan Riau terutamanya Anambas daripada dicemari.

“Jika kita tidak menjaga laut dan pulau-pulau yang indah di sini, tidak mustahil kita akan jauh ketinggalan daripada negara-negara lain,” jelasnya.