AKIBAT berada di bawah pengaruh dadah, seorang lelaki membelasah dan mengancam membunuh teman wanitanya secara langsung di Facebook Live.

Suspek Chaichana Sirichart, 25 tahun, mengurung Kuldara Yeesaman, 24 tahun, dalam bilik dan mendera kekasihnya itu atas dakwaan berlaku curang terhadapnya.

Chaichana dilaporkan menyerang dan menumbuk Kuldara bertalu-talu dengan penyapu dan pengering rambut.

Dia kemudian menunjukkan keadaan teman wanitanya itu di Facebook Live yang sedang menangis akibat kecederaan pada mata selain pendarahan pada bahagian tubuhnya.

Chaichana Sirichart dan Kuldara Yeesaman di saat bahagia bersama.

Dalam video itu, suspek kelihatan berulang kali bertanyakan mangsa siapa kekasih gelapnya serta menuduh wanita itu mencuri wang pelaburan perniagaannya.

Menurut polis, suspek positif dadah jenis methamphetamin dan berada dalam keadaan khayal ketika memberi kenyataan.

Suspek mengaku mengambil dadah tersebut ketika menyerang teman wanitanya itu.

Menurut suspek, dia begitu marah dengan Kuldara kerana didakwa berlaku curang, namun masih menyimpan rasa cinta terhadapnya.