Seorang lelaki Kemboja membunuh bekas isterinya dan kemudian terjun dari sebuah jambatan dalam aksi bunuh diri yang disiarkan secara langsung di Facebook.

Reuters melaporkan, polis tempatan sudah mengesahkan perkara itu dan mengakui ia adalah kes pertama seumpamanya di negara itu.

Facebook adalah platform media sosial pilihan warga Kemboja. Hampir satu per tiga daripada populasi rakyatnya yang berjumlah 15.8 juta orang merupakan pengguna Facebook, dan rangkaian itu adalah sumber utama maklumat, terutamanya bagi golongan muda.

Ra Chhay Rath, 21, membunuh bekas isterinya di sebuah sekolah pada Khamis dan kemudian pergi ke jambatan Tsubasa di Kandal, seterunya terjun ke dalam Sungai Mekong. Hanya aksi bunuh diri itu yang disiar secara langsung, kata polis.

"Ini tidak pernah berlaku, Ini yang pertama. Kami sedang menyiasat motif pembunuhan bekas isterinya itu," ujar jurucakap polis, Kirth Chantharith.

Jurucakap Facebook di Singapura berkata, syarikat itu tidak dapat memberi ulasan segera tentang kes tersebut.

Tahun lalu, Facebook berkata akan mengembangkan perisian mengenal pasti corak perilaku percubaan membunuh diri di Amerika Syarikat selepas ujian seumpamanya berjaya menghasilkan keputusan seperti yang diharapkan.