Seorang lelaki bertindak membunuh seluruh ahli keluarga termasuk dua anak kandungnya atas dakwaan tidak melindungi isterinya semasa dia dipenjarakan.

Sinasi Gurkan, 54, sebelum itu ditahan kerana membunuh dua abangnya pada tahun 2004.

Ketika menjalani hukuman 16 tahun dalam penjara, isterinya Nadime pula memfailkan cerai.

Beberapa hari sebelum dibebaskan, Nadime dibunuh dan Sinasi menyalahkan seluruh ahli keluarga kerana tidak menjaga isterinya.

Dalam kejadian di daerah Sisli di Istanbul, Turki, Sinasi Gurkan bertindak membunuh lima ahli keluarganya yang lain bermula dengan abang iparnya Alihan Tiz dan anak saudaranya Erdal Tiz.

Sinasi kemudian menuju ke rumah abangnya Muhendis dan menembaknya di dalam kereta.

Polis yang dimaklumkan tentang tiga pembunuhan itu bergegas ke Esenyurt di mana Sinasi dilapor menumpang rumah anaknya, namun apa yang mereka temukan cukup menyayat hati.

Di sana polis menemukan mayat dua anak suspek Goksal, 21, dan Gokmen, 16.

Polis melancarkan pemburuan terhadap suspek selepas disyaki bertanggungjawab ke atas kematian lima individu.

Menurut laporan media tempatan, suspek yang cuba melarikan diri berjaya ditahan polis tidak lama kemudian.

Laporan menyebut bahawa Sinasi mengaku membunuh seluruh ahli keluarga atas dakwaan tidak melindungi isterinya hingga menyebabkan kematian wanita itu dua tahun lalu.