SEORANG lelaki dijatuhkan hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Algeria pada hari Isnin kerana menghayun seorang bayi secara berbahaya dari tingkat 15 semata-mata untuk mendapatkan perhatian media sosial.

Lelaki yang tidak bernama itu berkongsi sekeping gambar memaparkan dirinya memegang bayi tersebut di luar tingkap dari bangunan bertingkat tinggi dengan kapsyen: "1,000 ‘likes’ atau saya akan melepaskannya.”

Gambar itu kemudian mengundang kecaman dan kemarahan netizen.

Menurut portal The Straits Times, lelaki yang dipercayai ada hubungan saudara kepada bayi itu kemudian ditangkap oleh pihak polis dan didakwa atas tuduhan membahayakan keselamatan bayi tersebut.

Lelaki itu mengatakan bahawa dia berada di balkoni itu dengan halangan perlindungan, tetapi pengguna media sosial telah mengubah suai foto berkenaan.

Bapanya juga telah meminta mahkamah memaafkan lelaki tersebut kerana dia hanya melakukan perkara itu atas alasan gurauan dan hiburan.

Namun hakim menolak permintaan itu serta berkata, dia mendapati bersalah kerana membahayakan keselamatan bayi tersebut.