Seorang pengarah syarikat, Philip Neville Arps, didakwa di Mahkamah Daerah Christchurch pada Rabu atas kesalahan mengedar video siaran langsung yang dirakam pelaku serangan masjid Christchurch Jumaat lalu.

Arps, 44 tahun, diletakkan di bawah tahanan polis sehingga kes itu dibicarakan pada 15 April ini.

Rakaman asal dibuat Brenton Tarrant itu menjadi tular selepas insiden tembakan di dua masjid pada waktu solat Jumaat, yang mengakibatkan setakat ini 50 nyawa terkorban dan puluhan mangsa lagi cedera.

BACA: Serangan pengganas Christchurch: FB sekat 1.5 juta video dalam tempoh 24 jam

Video itu yang dikongsi melalui Facebook telah diarahkan untuk dilupuskan daripada media sosial oleh Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Arden.

Mahkamah Daerah Christchurch menolak pemohonan Arps untuk dibebaskan dengan ikat jamin.

BACA: Tragedi solat Jumaat: Jangan sebar video insiden tembakan di Christchurch - SKMM

Ahli perniagaan itu ditahan atas dua pertuduhan mengedar rakaman siaran langsung tersebut dan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 14 tahun.

Syarikat perniagaan milik Arps ketika ini berada di bawah pemerhatian pihak berkuasa kerana logo syarikat itu mempunyai simbol Nazi, sama seperti yang dipaparkan dalam satu manifesto dikeluarkan oleh Tarrant.

BACA: Tembakan rambang Christchurch: Dia masuk masjid, tembak jemaah