Pihak berkuasa Indonesia pada Ahad mengesahkan seorang lelaki di Indonesia mati dibaham harimau Sumatera di sebuah perkampungan terpencil di wilayah Riau.

Kejadian tersebut adalah serangan kedua tahun ini yang membawa maut.

Yusri Effendi, 34, ditemui tidak bernyawa dengan kesan kecederaan serius pada lehernya oleh rakan sekerja pada petang Sabtu.

Mangsa diserang ketika sedang menyiapkan sebuah bangunan untuk dijadikan sarang burung-layang-layang di Kampung Tanjung Simpang.

Beberapa jam sebelum itu, Yusri dan rakan-rakannya sudahpun menyedari terdapat seekor harimau yang sedang berlegar di kawasan tersebut.

Dia dan tiga rakannya itu bagaimanapun meneruskan kerja-kerja mereka selepas menyangka keadaan sudah selamat, namun tidak lama kemudian mereka disergah haiwan yang sedang berang itu.

Salah seorang rakan Yusri yang selamat dalam situasi cemas tersebut memberitahu, mereka semua lari bertempiaran ke arah yang berbeza, tetapi nasib tidak menyebelahi mangsa.

Pasukan penyelamat yang membuat operasi pencarian, telah menjumpai mayat mangsa di tebing sebuah sungai tidak lama selepas itu dengan kecan baham di leher.

Konflik manusia dan haiwan adalah sesuatu yang sering terjadi di gugusan kepulauan Indonesia, terutamanya di kawasan hutan yang diteroka oleh perusahaan ladang kelapa sawit.

Itu jelas menunjukkan betapa manusia yang sebenarnya mengganggu habitat haiwan liar.

Awal bulan ini, penduduk di Kampung Hatupangan di Sumatera Utara bertindak menggantung seekor harimau Sumatera dengan perut yang sudah dirobek, sebagai membalas dendam setelah haiwan itu menyerang orang kampung.

Harimau Sumatera dikategorikan sebagai haiwan yang sangat dilindungi oleh kumpulan aktivis di bawah Kesatuan Konservasi Alam Sekitar Antarabangsa, dengan hanya 400 hingga 500 ekor sahaja yang masih berada di habitat liar.

BACA: Disangka harimau jadian, harimau sumatera dirodok dan digantung pada siling