Seorang lelaki Pakistan yang cuba mengambil gambar selfie terkorban pada Selasa apabila dilanggar kereta api yang meluncur laju.

Jamshaid Khan, 22, yang merupakan petugas jabatan kereta api cuba mengambil gambar dengan telefon bimbitnya sambil berdiri di atas landasan di Rawalpindi.

“Jamshed Khan yang tinggal di kawasan Dhok Ratta di bandar Rawalpindi, maut akibat mengambil foto selfie di hadapan kereta api yang meluncur ke arahnya.

“Dia maut serta-merta di situ. Kereta api itu telah menggilisnya,” ujar pegawai kanan jabatan menyelamat, Deeba Shahnaz.

Seorang anggota polis di stesen tempatan mengesahkan kematian tersebut namun berkata bapa mangsa tidak mahu menerima penjelasan bahawa anaknya itu maut ketika sedang berselfie.

“Bapa Jamshed Khan, Muhammad Pervez memberitahu dalam kenyataannya bahawa anaknya mati kerana hendak menyeberang landasan,” ujar polis berkenaan.

Mengambil gambar selfie merupakan trend popular di Pakistan, khususnya golongan muda yang mahu memuat naik hasil rakaman tersebut ke laman Facebook dan Twitter.