Berita  | Dunia

Lelaki serbu masjid di London, lepaskan tembakan ketika solat tarawih

Lelaki serbu masjid di London, lepaskan tembakan ketika solat tarawih
Masjid Seven Kings di London dikawal ketat selepas seorang lelaki menceroboh masuk ketika solat tarawih dan melepaskan satu tembakan. -Gambar hiasan
LONDON: Sebuah masjid di London dikawal ketat selepas seorang lelaki menceroboh masuk ketika solat tarawih dan melepaskan satu tembakan.

Susulan kejadian di Masjid Seven Kings itu, Polis London mengerahkan kesemua anggotanya bersiap sedia mengawal ketat masjid tersebut yang terletak di High Road, Ilford sepanjang malam.


Menurut laporan media tempatan, suspek memasuki masjid membawa senjata api tetapi berjaya dihalau oleh jemaah yang berada di dalam masjid berkenaan.

Ketika diiring keluar, suspek telah melepaskan satu tembakan.

Pemeriksaan forensik terhadap kelongsong mendapati pistol yang digunakan suspek hanya mampu menembak peluru kosong.


Tiada kemalangan jiwa dan kerosakan dilaporkan dan kejadian itu tidak dikaitkan dengan pengganas.

Polis Metropolitan menyatakan suspek sedang diburu dan tiada penahanan individu lain dibuat berkaitan kes itu setakat ini.

Ia berlaku ketika kebimbangan terhadap keselamatan meningkat di rumah-rumah ibadat seluruh dunia.