Seorang bapa didakwa di mahkamah Georgia Amerika Syarikat atas tuduhan menyebabkan kematian bayi lelakinya yang berusia 22 bulan.

Tuduhan dibuat selepas dia didakwa sibuk menghantar mesej berbaur seks kepada enam wanita berbeza termasuk seorang remaja berusia 16 tahun sehingga mengabaikan bayi terbabit dan menyebabkannya meninggal dunia.

Tertuduh Justin Ross Harris bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu.

Mahkamah juga telah menolak permohonan ikat jamin tertuduh.

Harris kini menunggu keputusan sama ada dia juga akan didakwa atas kesalahan membunuh.

Bayi malang terbabit meninggal dunia selepas ditinggalkan di kerusi belakang kenderaan bapanya ketika suhu panas. Harris mendakwa dia terlupa untuk meninggalkan bayi itu di pusat penjagaan.

Bayi itu dikatakan terperangkap lebih dari tujuh jam sehingga meninggal dunia.

Ketika perbicaraan, pihak pendakwaraya mendedahkan maklumat yang diperolehi dari komputer, telefon pintar dan peranti tablet tertuduh.

Menurut pendakwaraya, tertuduh menghantar pesanan ringkas SMS berbaur dengan mesej lucah termasuk menghantar gambar bahagian sulitnya kepada seorang remaja.

Lebih menyedihkan apabila Harris dikatakan membaca artikel berkaitan individu yang tidak inginkan anak dan menonton video mengenai orang yang nazak.

Dia juga melakukan carian berkaitan had umur dibenarkan melakukan seks dan bagaimana untuk kekal hidup di penjara.

Satu lagi video yang ditonton memaparkan bagaimana pengalaman haiwan merana sebelum mati dalam keadaan panas.

Isteri tertuduh juga sedang disiasat mengenainya.