Seorang lelaki Singapura berusia 53 tahun maut dalam satu insiden kemalangan di utara India, kurang sebulan selepas terselamat dalam kejadian gempa bumi di Palu, Indonesia.

Ketika di Palu, berita tentang jasanya telah tular apabila berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan daripada menjadi mangsa dalam bencana alam itu.

Portal Channel NewsAsia melaporkan, Ng Kok Choong ditemui mati pada Selasa, sehari selepas dia dilaporkan hilang, seperti yang didedahkan laman web Persekutuan Sukan Udara Singapura (AFS).

Kok Choong sedang meluncur dengan paraglider sekitar jam 11 pagi pada Isnin di lokasi Bir-Billing, Himachal Pradesh apabila cuaca menjadi buruk secara tiba-tiba.

Mangsa tidak kembali ke hotel dan jasadnya hanya ditemui pada hari keesokannya oleh pihak berkuasa India menggunakan helikopter.

Jasadnya ditemui terdampar di lereng bukit di bandar Baijnath, lapor media tempatan The Tribune.

Menurut media itu, Kok Choong berada di India untuk menyertai acara Piala Paragliding Sedunia yang bermula pada 27 Oktober.

Bulan lalu, Kok Choong juga sedang menyertai pertandingan paragliding di Palu apabila gegaran sekuat 7.5 magnitud terjadi di lokasi itu seterusnya mencetus ancaman tsunami.

Dia dan rakannya berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan yang terperangkap di bawah runtuhan sebuah hotel.