Seorang lelaki Thailand telah ‘menjejaskan’ harga pasaran gelap dadah metamfetamin tempatan apabila mengagihkan secara percuma sejumlah 700,000 pil tersebut bernilai AS$6 juta (RM24 juta) yang ditemuinya di dalam belukar, kepada kawan-kawannya.

Prachaub Kanpecth, yang selalu mengumpul bahan buangan dan madu hutan, didakwa pada Selasa kerana memiliki dan berniat untuk membekalkan bahan terlarang itu, lapor AFP.

Pihak polis telah menahannya di Ayutthaya bersama 500,000 biji pil metamfetamin, yang dikenali sebagai 'yaba' atau ‘dadah gila’ dalam bahasa tempatan.

Lelaki berusia 41 tahun itu memberitahu polis bahawa dia menemui dadah itu selepas melihat sekumpulan lelaki yang menaiki lori pikap meninggalkan sebuah bungkusan besar di sebuah kawasan semak.

Pihak polis membuka siasatan itu selepas mendapati pasaran tempatan dibanjiri pil-pil tersebut pada harga yang murah iaitu AS$3 (RM12) sebiji, sedangkan pil 'yaba' lazimnya berharga AS$8 (RM32) sebiji.

Ketika dia ditangkap pada Selasa, Prachaub sudahpun mengagihkan 200,000 biji pada 'kawan-kawannya'.

“Dia mendakwa telah memberikan pil-pil itu kepada kawan-kawannya yang memerlukan wang atau yang mahu membayar hutang.

“Setakat ini, kami tidak mempunyai sebarang bukti atau saksi untuk mencabar pengakuannya,” kata pegawai polis daerah Uthai, Suriya Yoopeat.

Penggunaan dadah jenis metamfetamin menular di rantau Asia Pasifik sejak tahun-tahun kebelakangan ini, dengan lokasi pengeluarnya dipercayai terletak di segi tima emas terpencil antara Myanmar, Laos dan Thailand.