Menteri Alam Sekitar Perancis, Nicolas Hulot meletak jawatan ketika sedang ke udara di radio dalam pengumuman dramatik yang turut mengejutkan Presiden Emmanuel Macron.

Bekas penyampai TV itu berkata, keputusan itu dibuat kerana kecewa selepas gagal untuk menangani isu perubahan iklim dan ancaman alam sekitar yang lain.

"Saya berasa 'keseorangan' dalam kerajaan ini. Saya mengambil keputusan paling sukar dalam hidup. Saya mengambil keputusan untuk tinggalkan kerajaan," katanya ketika di radio France Inter, pada Selasa.

Jelasnya, beliau tidak pernah menyuarakan perkara itu kepada Macron dan Perdana Menteri Edouard Philippe kerana enggan mereka memujuknya.

Beberapa pihak melihat pengunduran Hulot yang merupakan tokoh popular di Perancis bakal memberi tamparan hebat kepada Macron yang semakin kurang mendapat sokongan. - Agensi