Tiga pelancong Vietnam dan seorang pemandu pelancong Mesir terbunuh manakala 10 lagi cedera apabila sebutir bom diledakkan di pinggir jalan lalu terkena sebuah bas pesiaran, tidak jauh dari lokasi bersejarah Piramid Giza, pada Jumaat.

Insiden itu adalah serangan yang pertama menyasarkan pelancong di Mesir selepas setahun, setelah sektor pelancongan negara itu baru saja kembali pulih pasca serangan pengganas.

Walaupun belum ada pihak mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, golongan militan Daish dikatakan masih aktif di negara itu dan sebelum ini pernah menyasarkan pengunjung asing.

Sekurang-kurangnya sembilan pelancong Vietnam cedera dalam kejadian, selain pemandu bas warga tempatan.

Mereka sedang dalam perjalanan ke pertunjukan audio-cahaya di tapak piramid tersebut.

Kementerian Dalam Negeri Mesir berkata, bas itu terkena letupan bom yang dipasang pada sebuah tembok sekitar jam 6.15 petang waktu tempatan.

Bahagian sisi bas berkenaan mengalami kerosakan teruk, termasuk kesemua bahagian tingkapnya pecah.

PIhak berkuasa, termasuk polis, anggota tentera dan bomba berada di lokasi untuk mengawal keadaan.