Berita  | Dunia

Letupan bom kereta di Afghanistan tujuh orang awam maut

Letupan bom kereta di Afghanistan tujuh orang awam maut
Anggota keselamatan Afghanistan memeriksa keadaan di lokasi kejadian letupan bom kereta di Kabul, Afghanistan, 13 Nov, 2019. (Foto AP)
KABUL: Tujuh orang awam terbunuh dan 10 orang termasuk empat warga asing cedera dalam letupan bom kereta di sini Rabu, lapor agensi berita Xinhua.

"Kereta yang sarat dengan muatan bom itu merempuh sebuah kenderaan milik syarikat keselamatan asing GardaWorld," kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Nasrat Rahimi.

Beliau berkata kanak-kanak adalah antara yang terbunuh dan cedera.

Letupan kuat berlaku di kawasan Sarak-e-Qasim di kawasan kejiranan Qasaba berhampiran bangunan Kementerian Dalam Negeri Afghanistan ketika waktu puncak pada sebelah pagi.

Bangunan berhampiran, beberapa kedai dan kenderaan turut rosak.

Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu.

Pada pertengahan September, 22 orang termasuk enam anggota tentera Afghanistan maut manakala 38 yang lain cedera dalam serangan bom di sebuah kawasan diplomatik di Kabul.

-- BERNAMA