Sebuah kereta yang sarat bahan letupan diletupkan pada Khamis di selatan Baghdad, lalu membunuh sekurang-kurangnya 51 orang dan mencederakan 55 orang lain, ujar sumber keselamatan dan perubatan.

Reuters melaporkan, militan Daish mengaku bertanggungjawab atas kejadian tersebut melalui satu kenyataan dalam talian. Kumpulan tersebut bertindak balas setelah hilang kawalan ke atas timur Mosul dalam satu pertempuran dengan tentera Iraq yang disokong Amerika Syarikat.

Anggota keselamatan berkata, kenderaan tersebut diletupkan di sebatang jalan yang dipenuhi kereta daripada perniagaan kenderaan terpakai di Hayy al-Shurta, iaitu sebuah kawasan Syiah di barat daya Baghdad.

Angka kematian dijangka meningkat memandangkan ada antara yang cedera dalam keadaan kritikal.

Insiden itu adalah yang kedua seumpamanya dalam minggu ini. Kumpulan pelaku sudah menemui cara yang lebih mudah iaitu meletakkan kereta yang dipasang bom di tempat yang terdapat banyak kenderaan.

Pada Rabu, seorang pengebom bunuh diri meletupkan sebuah lori di Sadr City, iaitu kawasan pinggir bandar Syiah di timur Baghdad. Insiden itu mengorbankan 15 orang.

Pasukan keselamatan Iraq yang disokong AS telah membebaskan banyak kota yang pernah dikuasai Daish pada 2014 dan 2015. MIlitan itu juga menawan beberapa kawasan di Syria.

Angkatan bersenjata Iraq pada bulan lalu kembali menguasai timur Mosul dan sekarang ini sedia menyerang bahagian barat yang masih di bawa cengkaman militan. Bandar itu terbahagi dua oleh Sungai Tigris.