Sebarang langkah mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu negara Israel oleh Amerika Syarikat hanya akan meningkatkan aktiviti keganasan di rantau itu.

Setiausaha Agung Liga Arab Ahmed Aboul Gheit pada Sabtu menegaskan perkara itu perlu diambil serius Presiden Donald Trump yang dijangka mengumumkan perkara tersebut minggu hadapan.

BACA: Trump dijangka iktiraf 'Jerusalem' sebagai ibu negara Israel minggu depan

Kenyataan Liga Arab terbabit dibuat sehari selepas pentadbiran Trump mengumumkan hasratnya itu pada Jumaat.

"Hari ini kami mahu menyatakan dengan jelas bahawa tindakan seperti itu tidak wajar kerana ia tidak akan memberi keamanan atau kestabilan.

"Tetapi akan menggalakkan lagi aktiviti ekstremisme dan galakan keganasan," kata Ahmed Aboul dalam satu kenyataan yang diterbitkan di laman web Liga Arab.

Katanya, pengumuman yang dirancang oleh Trump jauh berbeza dengan keputusan yang dibuat presiden sebelumnya yang menegaskan status Jerusalem itu mesti diputuskan dalam rundingan dengan Palestin.

"Ia hanya memberi manfaat kepada satu pihak iaitu kerajaan Israel yang bermusuhan dengan keamanan," katanya lagi.

Masyarakat antarabangsa sebelum ini tidak mengiktiraf dakwaan Israel terhadap semua bandar, tempat suci bagi agama Islam, Yahudi dan Kristian yang diduduki rejim dan mahu keputusan dibuat memihak kepada Palestin.

Bagi umat Islam sedunia, ‘Jerusalem’ adalah nama yang tidak diiktiraf sebaliknya mahu terus mengekalkan kedaulatan dan kebebasan Baitulmaqdis.