Polis London mengesahkan litar pintas sebagai punca yang menyebabkan letupan kecil di stesen kereta api bawah tanah di Southgate, barat laut London yang berlaku pada jam 7 malam waktu tempatan Selasa.

Ia sekaligus menafikan terdapat sebarang unsur keganasan terhadap insiden tersebut.

Setakat ini lima orang disahkan mengalami kecederaan akibat terkena letupan itu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Polis Metropolitan London, sebilangan pakar telah dihantar ke tempat kejadian untuk melakukan pemeriksaan terperinci.

Mereka juga mengesahkan litar pintas itu berpunca daripada bateri di stesen tersebut.

Bagaimanapun pihak berkuasa masih lagi mengumpulkan semua maklumat dan bukti kejadian.

Tiga daripada mangsa letupan mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar manakala dua lagi ditahan di hospital.

Stesen kereta api masih ditutup kepada orang ramai bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan.