Aktor Harrison Ford menggesa masyarakat dunia agar melindungi lautan dan mendesak Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump supaya tidak menafikan kemajuan sains dan teknologi.

Bercakap pada penutup Sidang Kemuncak Kerajaan Dunia di sini pada Selasa, pelakon berusia 76 tahun itu pada masa sama menekankan pentingnya kesan perubahan iklim dunia.

Katanya, berdasarkan konsensus sains mengenai ancaman perubahan iklim, banyak pihak mungkin akan merasa terpanggil untuk mengambil tindakan yang bermakna dalam menanganinya.

"Tetapi, di seluruh dunia, elemen kepemimpinan, termasuk di negara saya sendiri, menidakkan atau menafikan sains, demi memelihara kepentingan mereka dalam status quo.

"Mereka berada di kedudukan yang salah dalam sejarah," katanya yang bagaimanapun tidak menamakan Trump secara langsung dalam ucapannya itu.

Pada masa sama, Ford juga menyeru kerajaan dan pihak berkuasa supaya bergantung kepada 'sains yang baik' dalam membentuk dasar negara.

"Kita sedang berdepan dengan krisis moral terhebat buat masa ini. Mereka yang paling tidak bertanggungjawab dalam memelihara alam semula jadi akan menanggung akibat paling teruk," katanya.

"Kita lebih memerlukan alam semulajadi ketika ini berbanding sebelum ini kerana alam semula jadi tidak memerlukan manusia, tetapi manusia memerlukan alam semula jadi," tambahnya.