Pengunjung dan pelancong ke Turki sejak Isnin berpusu-pusu ke kedai serta butik berjenama untuk mendapatkan produk yang mereka inginkan, terutamanya apabila kuasa membeli mereka melonjak akibat krisis mata wang Lira.

Mata wang tersebut merudum hingga ke paras terendah iaitu 7 Lira kepada AS$1.

Pelancong Arab kelihatan sanggup berbaris panjang di hadapan pintu masuk butik jenama Chanel dan Louis Vuitton di Nisantasi, iaitu sebuah kejiranan komersial di Istanbul, lapor Reuters.

“Kami membeli pakaian, alat solek, produk jenama mewah. Semua jadi murah!” ujar Fatima Ali dari Kuwait yang datang bersama dua anak perempuannya, serta sebuah beg besar untuk mengisi barang pembelian.

Lira telah menguncup lebih daripada 40 peratus berbanding dolar Amerika tahun ini.

Semua itu dipengaruhi oleh Presiden Tayyip Erdogan dalam menguruskan ekonomi negaranya yang kini terkesan akibat hubungan yang memburuk dengan Amerika Syarikat.

Erdogan bagaimanapun menyeru rakyatnya supaya melayani para pelancong sebaik-baiknya, yang membawa masuk dolar ke dalam negara itu pada waktu kritikal.

"Teruskan layanan anda kepada mereka (pelancong dan pembeli). Kerana pada masa ini, ketika sesetengah orang membawa keluar dolar, ada yang memberikannya kepada anda,” ujar Erdogan kepada para penyokongnya hujung minggu lalu.

Para pengusaha kedai di sekitar kawasan komersial di Istanbul mengakui para pengunjung dan pelanggan kedai bertambah dengan banyak walaupun pada musim kemuncak.

Ada pengunjung dari Mesir mendapati, secara perbandingan, dia dapat berjimat hingga AS$1,000 ketika membeli produk yang sama di negaranya sendiri.