Syarikat konglomerat mewah Moët Hennessy Louis Vuitton (LVMH) akan mula menghasilkan cecair pembasmi kuman di tiga kilang minyak wangi dan kosmetiknya untuk diedarkan ke semua hospital di Perancis.

Menurut laporan portal berita The Guardian, keutamaan tiga kilang berkenaan akan diberikan kepada usaha menghasilkan 12 tan produk berkenaan berbanding minyak wangi dan mekap jenama Christian Dior, Guerlain dan Givenchy.

Kumpulan berkenaan berkata cecair pembasmi kuman berkenaan akan dihantar tanpa sebarang caj ke 39 hospital awam Perancis melalui pihak berkuasa kesihatan negara itu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada LVMH atas tindakan pantas mereka.

"LVMH membuat tawaran ini pada pukul 9 malam (waktu tempatan), dan mengesahkannya pada malam Ahad,” kata Ketua Hospital Paris Martine Hirsch kepada agensi berita AFP.

Kerajaan Perancis baru-baru ini telah mengenakan had harga tidak melebihi €3 (kira-kira RM14) sebotol cecair berkapasiti 100 ml kepada produk berkenaan selepas mereka menerima laporan mengenai sikap sesetengah peniaga yang sengaja menaikkan harga secara mendadak untuk mengaut keuntungan lebih.

Pengeluar cecair pembasmi kuman di seluruh Perancis dilaporkan telah mengupah lebih banyak pekerja ekoran permintaan yang mendadak di seluruh negara.