Presiden baharu Perancis, Emmanuel Macron melantik seorang Perdana Menteri aliran konservatif pada Isnin, sebagai langkah untuk meluaskan kuasa politiknya dan melemahkan parti pembangkang sebelum pilihan raya dewan perundangan atau Parlimen pada Jun ini.

Edouard Philippe, 46, seorang ahli parlimen dan Datuk Bandar bandar pelabuhan Le Havre, adalah dari parti The Republican dan akan menjadi pengimbang kepada bekas Ahli Parlimen Sosialis yang telah menyertai gerakan Macron.

Setiausaha Agung Istana Elysee, Alexis Kohler membuat pengumuman itu.

Semalam, Macron berikrar untuk mengatasi masalah perpecahan dalam masyarakat serta membangunkan Perancis sebagai negara yang kuat di dunia.

Tambah beliau, pasaran buruh juga menjadi lebih longgar di bawah pentadbirannya dan suasana mesra perniagaan akan diwujudkan.