Kesemua Majlis Agama Islam di tiga wilayah Selatan Thailand, Narathiwat, Pattani dan Yala tidak membenarkan pernikahan pasangan bawah umur 18 tahun termasuk pasangan dari Malaysia.

Namun menurut Setiausaha Majlis Agama Islam Pattani, Salahuddin Yusuf kelonggaran diberikan kepada pasangan terutama wanita bawah 18 tahun yang membawa dan mendapat keizinan ibu bapa mereka untuk melangsungkan perkahwinan.

"Thailand memang menetapkan syarat wanita dan lelaki yang ingin mendirikan rumah tangga hanya pada umur atas 18 tahun.

"Namun kita bagi kelonggaran dengan membenarkan atau menikahkan pasangan yang berumur bawah 18 tahun yang membawa ibu bapa mereka dan mendapat persetujuan dari kedua ibu bapa pasangan" katanya ketika ditemui di pejabat Majlis Agama Islam Pattani pada Rabu.

Di samping itu juga, bagi pasangan bawah umur yang mahu bernikah mereka juga perlu membuat laporan polis terlebih dahulu sebelum dapat dinikahkan.

Menyentuh mengenai pasangan dari Malaysia yang bernikah di dalam wilayah Pattani dan berdaftar di Majlis berkenaan, Salahuddin menjelaskan sepanjang tahun lepas merekodkan 180 pasangan yang bernikah termasuk yang bergelar 'Datuk'.

"Sepanjang tahun lepas, antara 15-18 pasangan dari Malaysia yang bernikah dalam wilayah Pattani dalam sebulan. Bulan Disember mencatatkan jumlah 24 pernikahan, satu angka tinggi berbanding bulan lain" ujarnya.

Menurut Salahuddin lagi, kebanyakan pasangan dari Malaysia yang bernikah di Pattani merupakan pasangan yang mendirikan pernikahan buat kali kedua atau berpoligami.

Mereka terpaksa bernikah di selatan Thailand bagi mengelakkan diketahui isteri pertama, mengelakkan dari diketahui keluarga serta anak-anak dan rakan terutama melibatkan penjawat awam dan mereka yang berprofile tinggi.

Majlis Agama Islam menetapkan caj perkahwinan pasangan adalah 4,500 Baht (RM608).

Pada masa sama, beliau mengingatkan supaya pasangan dari Malaysia supaya tidak menjalankan upacara pernikahan dengan kumpulan sindiket yang beroperasi berdekatan sempadan samada di Sungai Golok dan Sadao.

Ini kerana Majlis Agama Islam di Selatan Thailand tidak mengiktiraf sindiket berkenaan malahan tidak akan mengeluarkan sijil Nikah Majlis Agama dan surat pengesahan perkahwinan.

Kumpulan sindiket yang menjalankan upacara pernikahan itu mengenakan bayaran sehingga 30,000 Baht (RM4,055) ke atas pasangan.

Mereka yang bernikah melalui sindiket itu juga berdepan masalah pengesahan pernikahan sama ada di Thailand atau Malaysia.