Majlis Pusat Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dalam satu kenyataan bersama pada Isnin, mencadangkan supaya pengiktirafan terhadap Israel ditangguhkan, lapor agensi berita Xinhua.

Dalam kenyataan bersama pada akhir sidang selama dua hari itu, majlis berkenaan mengesyorkan, supaya PLO dan Presiden Palestin Mahmoud Abbas, menggantung pengiktirafan negara Israel selagi rejim Tel Aviv belum mengiktiraf negara Palestin merdeka mengikut sempadan 1967 serta menghentikan keputusan untuk menduduki Timur Baitulmaqdis.

Salim al-Za'noun, Speaker Majlis Kebangsaan Palestin, satu badan perundangan PLO membacakan kenyataan itu, yang antara lain menolak keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, memberi pengiktirafan terhadap Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan memindahkan kedutaan ke bandar berkenaan.

"Matlamat serta-merta adalah negara Palestin merdeka, yang memerlukan pertukaran daripada status autoriti dan pemerintahan sendiri, kepada status negara Palestin berdaulat dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara mengikut sempadan 1967," tambah kenyataan itu.

Trump pada 6 Disember lalu, mengumumkan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan memindahkan kedutaan negara AS ke bandar itu, yang mencetuskan kemarahan rakyat Palestin dan negara Arab serta menerima pelbagai kecaman di peringkat antarabangsa.

Palestin ingin memiliki Timur Baitulmaqdis sebagai ibu negara, sementara Israel tegas mahukan Baitulmaqdis yang bersatu, termasuk bahagian timur yang diduduki pada 1967.

Status akhir Baitulmaqdis antara isu tertangguh dalam rundingan Palestinian-Israel sejak 2014, selepas sembilan bulan rundingan yang ditaja AS, gagal menghasilkan sebarang kemajuan untuk menyelesaikan konflik hampir berdekad lamanya.

Palestin mengatakan keputusan AS "membuatkan negara itu hilang kelayakan sebagai pengantara serta penaja proses damai, dan hanya akan kembali menjadi rakan kongsi dalam proses berkenaan selepas keputusan Presiden Trump mengenai Baitulmaqdis dibatalkan."

Di samping itu, kenyataan tegas menolak "sebarang cadangan atau idea untuk penyelesaian peralihan atau peringkat interim, termasuk apa yang dipanggil sebagai negara dengan sempadan sementara dan enggan mengiktitaf Israel sebagai negara Yahudi."

Pada masa sama, kenyataan itu menggesa diadakan Majlis Kebangsaan Palestin sebelum akhir tahun ini, untuk "mencapai kerjasama politik di bawah rangka PLO, wakil tunggal rakyat Palestin", selain menuntut pembentukan kerajaan perpaduan "bagi mengukuhkan perkongsian politik dan sistem politik Palestin yang bersepadu."

-- BERNAMA