Ketika penduduk bandar raya San Francisco, Amerika Syarikat berharap pihak berkuasa mencari jalan untuk menyelesaikan masalah gelandangan, mereka tidak menyangka ada program lain yang dilancarkan.

Pentadbir bandar raya itu sebaliknya memperkenalkan ‘skuad pembersih najis’ untuk membersihkan jalanan kota berkenaan yang dicemari kotoran dan najis dari golongan gelandangan, akibat masalah kekurangan tandas awam, lapor media tempatan.

Sebuah pasukan dari Jabatan Kerja Awam akan mula memantau sesetengah kawasan di San Francisco untuk membersihkan kotoran najis dengan menggunakan perkakasan seperti penyembur air bertekanan tinggi dan wap panas.

Inisiatif itu dilancarkan setelah bandar raya itu merekodkan penerimaan sejumlah 14,500 panggilan aduan antara Januari dan Ogos tahun ini daripada penduduk yang geli melihat najis di siar kaki jalanan.

Najis itu bukan saja dari anjing, malah najis manusia yang semakin banyak ditinggalkan golongan gelandangan.

San Francisco adalah antara kawasan metropolitan terkaya di Amerika Syarikat. Bagaimanapun, kota itu menyaksikan kos perumahan dan pemilikan kediaman yang melonjak tinggi, sekali gus menjadi antara kota yang mempunyai populasi gelandangan tertinggi.

Aktivis hak asasi manusia dari Coalition on Homelessness, Kelley Cutler, berkata pihaknya sering mendesak supaya pentadbir bandar raya itu menyediakan lebih banyak tandas awam.

“Pengguna sebenarnya tidak mahu 'melepaskan hajat' di jalanan. Mereka mahukan tempat yang lebih sesuai. Tapi mereka tiada pilihan.

"Kita mahukan jalanan yang selamat dan nyaman bersih untuk semua orang. Sebab itu desakan kami tentang keperluan tandas awam ini diharap tidakl dipandang sepi," ujarnya.

Daripada AS$11 juta belanjawan San Francisco bagi penggal 2018-2019, AS$1.05 juta dikhususkan untuk pembinaan tandas awam baharu dan memanjangkan operasi tandas awam yang sedia ada. Bajet itu juga termasuk kos penggajian pembersih jalanan berjumlah AS$3.1 juta.