Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Xi Jinping di Great Hall of People, di sini Sabtu.

Najib dalam rangka lawatan kerja lima hari ke China untuk menghadiri Forum Jalur dan Laluan untuk Kerjasama Antarabangsa pada 14 dan 15 Mei.

Satu Jalur Satu Laluan adalah inisiatif Presiden Xi bagi merancakkan perdagangan antara negara dengan menyediakan infrastruktur seperti pelabuhan, laluan keretapi dan lebuh raya.

Najib kemudian menyertai Presiden Xi pada perbincangan dua hala bagi membincangkan kerjasama ekonomi Malaysia dan China.

Turut serta ialah Wakil Khas kerajaan Malaysia ke China Tan Sri Ong Ka Ting, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Rahman Dahlan, Menteri Perdagangan dan Industri Kedua Datuk Seri Ong Ka Chuan, dan Menteri Pertanian dan Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Dalam kenyataannya, Najib berkata beliau yakin inisiatif Satu Jalur Satu Laluan merupakan satu rancangan perubahan untuk seluruh rantau berkenaan meliputi Eropah dan Afrika.

Beliau berkata sejak mereka bertemu November lepas, banyak inisiatif yang dipersetuju kedua-dua negara telah atau akan dilaksanakan tidak lama lagi.

"Saya setuju dengan anda (Presiden Xi) bahawa Malaysia dan China bukan sahaja jiran malahan juga rakan setia," kata Najib.

Perdana Menteri berkata walaupun hubungan Malaysia-China berada pada tahap tertinggi, terdapat skop untuk mempertingkat dan memperluaskannya lagi.