Berita  | Dunia

Malaysia-Filipina rai enam dekad persahabatan

Malaysia-Filipina rai enam dekad persahabatan
Dr Mahathir Mohamad dan Rodrigo Duterte akan mengetengahkan isu-isu berkepentingan dua negara, kata Rizany Irwan Muhamad Mazlan. - Gambar BERNAMA
MANILA: Hubungan dua hala antara Malaysia dan Filipina akan terus diperkukuh hasil lawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke republik itu bermula esok yang bertemakan “Partners for Progress, Brothers for Peace”.

Lawatan selama tiga hari itu bakal membuka tirai pada Khamis dengan sambutan rasmi oleh Presiden Filipina, Rodrigo Duterte di Istana Malacañang di sini pada Khamis.

Timbalan Duta Besar Malaysia ke Filipina yang memegang Kuasa Usaha Sementara, Rizany Irwan Muhamad Mazlan berkata, kedua-dua pemimpin itu bakal mengetengahkan isu-isu berkepentingan bersama meliputi ekonomi, perdagangan, keselamatan dan pembangunan termasuk di rantau Selatan Filipina.

“Lawatan rasmi ini secara dasarnya untuk mempertingkatkan hubungan dan kerjasama antara Malaysia dan Filipina untuk kita menerokai peluang-peluang kerjasama baharu selain memperkasakan jalinan hubungan ampuh sedia antara rakyat kedua-dua negara.

“Mesyuarat dua hala juga akan membincangkan selain menerokai dengan lebih lanjut potensi kerjasama dalam bidang-bidang yang boleh menafaatkan ekonomi dan perdagangan antara Malaysia dan Filipina.
“Antara industri yang boleh kita terokai dan lihat potensi kita sebagai sebuah negara Islam yang mempunyai industri halal yang sangat maju ke Filipina, termasuk perbankan Islam serta logistik dan perkhidmatan patuh syariah,” katanya pada sidang media di Kedutaan Malaysia di Filipina hari ini.

Pada lawatan itu, Perdana Menteri akan ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking.

Sebelum ke Istana Malacañang, Dr Mahathir diberi penghormatan untuk meletakkan kalungan bunga di tugu pejuang kemerdekaan Filipina, Jose Rizal di Rizal Park di sini.

Beliau sebelum itu akan mengadakan beberapa siri pertemuan termasuk bersama bekas Presiden Filipina  Gloria Macapagal Arroyo; Pengerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Mindanao, Datu Abul Khayr Alonto selain bersama usahawan pada Forum Perniagaan Malaysia-Filipina.

Selain itu, beberapa agensi media antarabangsa seperti South China Morning Post dan CNBC turut akan menemubual beliau.

Kedua-dua pemimpin juga akan sepentas untuk menyampaikan kenyataan bersama (joint statement) pasca pertemuan tertutup empat mata di Istana Malacañang.

Pada Jumaat, beliau akan menyantuni rakyat Malaysia yang berada di Filipina pada program bersama dispora sebelum berlepas pulang ke tanah air.

Lawatan rasmi selama tiga hari itu merupakan lawatan hubungan dua hala yang pertama oleh Dr Mahathir selaku Perdana Menteri Ke-7 dan kali ketiga sejak pertama kali menjawat jawatan Perdana Menteri.

Lawatan ini juga akan terus menambah momentum kepada proses pungutan suara bagi Undang-undang Organik Bangsamoro yang telah diadakan pada 12 Januari dan 6 Februari 2019 bagi mendapatkan persetujuan penduduk tempatan.

Katanya, Malaysia turut komited kepada Proses Damai Mindanao dan berbesar hati kerana telah diberi kepercayaan sebagai fasilitator dalam Proses Damai ini untuk memastikan keselamatan dan kestabilan dapat dicapai di Filipina dan rantau ini. 

Malaysia dan Filipina yang meraikan enam dekad jalinan diplomatik mempunyi hubungan perniagaan dan pelaburan yang amat utuh.

Dalam kerjasama ekonomi, jumlah perdagangan dua hala yang direkodkan pada tahun 2018 adalah sebanyak AS$6.45 bilion, menyaksikan pertumbuhan sebanyak 8.8 peratus berbanding AS$5.93 bilion pada tahun 2017.

Eksport dicatatkan berjumlah AS$4.17 bilion iaitu peningkatan sebanyak 8.4 peratus manakala import dicatatkan berjumlah AS$4.17 bilion iaitu peningkatan sebanyak 8.7 peratus pada tahun 2018.

Filipina merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN dan rakan dagang ke-15 terbesar di dunia.