KUALA LUMPUR:Malaysia menggesa konflik pertempuran tentera yang berlaku di wilayah Nagorno-Karabakh di republik Azerbaijan sejak 27 September lalu diselesaikan secara diplomasi di meja rundingan.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata Malaysia menyertai seruan masyarakat antarabangsa menyeru republik Armenia dan republik Azerbaijan untuk mengambil langkah-langkah konkrit termasuk berdialog bagi mengurangkan ketegangan di antara kedua-dua negara jiran itu.

Malaysia turut melahirkan rasa kesal akibat kehilangan nyawa orang awam di di wilayah Nagorno-Karabakh di republik Azerbaijan akibat daripada pertempuran tentera itu.

Pada masa sama, Malaysia turut melahirkan kebimbangan dengan keadaan keselamatan yang semakin merosot di wilayah berkenaan.

"Dalam konteks ini, Malaysia menyokong semua usaha bertujuan untuk mencari penyelesaian konflik secara aman berdasarkan undang-undang antarabangsa, termasuk ketetapan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang berkaitan," kata kenyataan itu.

Sementara itu, Rusia, Perancis dan Amerika Syarikat (AS) yang mempengerusikan kumpulan Minsk yang ditubuhkan pada 1992 untuk menyelesaikan konflik Nagorno-Karabakh mendesak ssetia negara membantu mencari penyelesaian secara damai.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, menggesa semua negara terutamanya Turkimelakukan usaha menyakinkan rakan lain untuk menghentikan serangan dan menyelesaikan konflik secara diplomatik dan aman.

Pasukan Armenia dan Azerbaijan saling menuduh melakukan serangan di wilayah itu selepas pertempuran berlanjutan sejak tiga hari lepas.

Turki menyokong Azerbaijan dalam konflik tersebut dengan Presiden Recep Taiyyip Erdogan meminta Armenia untuk segera menarik diri dari wilayah pemisah.

Pertempuran terus berlanjutan antara pasukan tentera Armenia dan Azerbaijan di sempadan Nagorno-Karabakh.

Ekoran pertempuran itu, berpuluh-puluh orang terbunuh dan cedera sejak pertempuran mula tercetus pada Ahad.

Kementerian Pertahanan Nagorno-Karabakh melaporkan seramai 84 tentera turut terbunuh dalam pertempuran itu.

Sementara itu, Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev memaklumkan kira-kira 10 orang awam terbunuh namun beliau tidak memperincikan angka korban tentera di negara itu.

Agorno-Karabakh terletak di Azerbaijan tetapi berada di bawah kawalan pasukan etnik Armenia yang disokong oleh pemerintah Armenia sejak tahun 1994 pada akhir perang pemisah berikutan pecahnya Kesatuan Soviet tiga tahun sebelumnya.

Wilayah di pergunungan Caucasus seluas 4,400 kilometer persegi itu terletak kira-kira 50 kilometer dari sempadan Armenia.

Askar yang disokong oleh Armenia juga menduduki beberapa wilayah Azerbaijan di luar wilayah tersebut.