Sempena dengan sambutan Hari Penubuhan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang disambut Isnin, Malaysia tetap komited kepada PBB dalam menggalakkan kerjasama bagi memelihara keamanan dan keselamatan antarabangsa, pembangunan dan hak asasi manusia.

Kementerian Luar menerusi kenyataannya sempena sambutan itu berkata, Malaysia akan terus menyokong dan komited dengan usaha Majlis Keselamatan dan PBB secara keseluruhan dalam menentang keganasan, yang mana ketika ini menjadi satu ancaman kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Malaysia juga komited bagi melaksanakan 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang terkandung dalam Agenda Pembangunan Lestari 2030, yang diguna pakai oleh pemimpin-pemimpin negara PBB, termasuk Malaysia, sejak September 2015, katanya.

"Ini dilakukan dengan mengintegrasikan SDG sebagai sebahagian daripada Strategi Pembangunan Negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-11," kata Kementerian Luar lagi.

Ia berkata, Malaysia sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB bagi penggal 2015-2016, bekerjasama rapat dengan anggota majlis itu bagi memenuhi mandat mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa, seperti yang ditetapkan dalam Piagam PBB.

"Ketika di dalam majlis itu, Malaysia menggalakkan penyelesaian konflik secara aman menerusi dialog dan menggunakan pendekatan sederhana," katanya.

Kementerian Luar berkata, Malaysia secara berterusan menyeru Majlis Keselamatan untuk menjalankan tanggungjawabnya, selari dengan Piagam PBB, ke arah mencari penyelesaian yang adil kepada isu Palestin, yang merupakan konflik paling lama dalam sejarah PBB.

Malaysia juga akan terus mengambil bahagian secara aktif dalam misi pengaman PBB, yang juga merupakan mekanisme antarabangsa bagi memelihara keamanan dan keselamatan antarabangsa, sejak menyertainya pada tahun 1960, katanya.

Hari PBB disambut 24 Okt setiap tahun sebagai tanda ulang tahun berkuat kuasanya Piagam PBB pada tahun 1945. - Bernama