Malaysia sentiasa menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) supaya mencari penyelesaian yang adil dan saksama terhadap isu Palestin sejajar dengan Piagam PBB.

Kementerian Luar dalam kenyataan sempena Sambutan Hari PBB berkata ini kerana isu Palestin merupakan konflik terpanjang dalam sejarah PBB.

Malaysia akan terus menyokong dan komited kepada usaha UNSC dan PBB untuk membanteras keganasan, yang merupakan ancaman semasa paling serius terhadap keamanan dan keselamatan sejagat.

Sejak 1960, Malaysia telah dan akan terus melibatkan diri secara aktif dalam misi pengaman PBB, yang merupakan mekanisme antarabangsa bagi memelihara keamanan dan keselamatan global.

Menurut kenyataan itu, Malaysia menyertai 192 anggota PBB meraikan Hari PBB yang disambut pada setiap 24 Okt untuk memperingati hari berkuatkuasanya Piagam PBB pada 1945.

Malaysia juga komited kepada PBB sebagai sebuah organisasi antarabangsa yang menggalakkan kerjasama berkaitan pemeliharaan keamanan dan keselamatan sejagat, pembangunan dan hak asasi manusia yang merupakan tiga tunggak pertubuhan itu.

Tema Sesi ke-71 Perhimpunan Agung PBB 'Matlamat Pembangunan Mapan: Usaha Sejagat untuk Mentransformasikan Dunia Kita' merupakan susulan kepada Agenda Pembangunan Mapan 2030 yang diperakukan para pemimpin negara-negara anggota PBB termasuk Malaysia pada Sept 2015.

"Malaysia komited untuk melaksanakan 17 matlamat pembangunan mapan yang terkandung di dalam Agenda 2030 tersebut. Ini dilaksanakan dengan mengintegrasikan matlamat-matlamat berkenaan dalam Pelan Pembangunan Negara di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas.

"Persekitaran global yang aman dan selamat adalah penting bagi membolehkan 17 matlamat pembangunan mapan itu dilaksanakan dengan jayanya," menurut kenyataan Kementerian Luar itu.

Malaysia selaku anggota tidak tetap UNSC bagi penggal 2015-2016 bekerjasama erat dengan anggota lain untuk memenuhi mandat Majlis Keselamatan dalam memelihara keamanan dan keselamatan antarabangsa seperti yang termaktub di dalam Piagam PBB.

"Sepanjang keanggotaan di Majlis Keselamatan, Malaysia sentiasa menggalakkan penyelesaian konflik secara damai melalui dialog dan menggunakan pendekatan kesederhanaan," kata kenyataan itu. -- BERNAMA